
Pesan William Zinsser dalam bukunya On Writing Well, “Kerat perkataan kerdil yang hanya mengesahkan perasaan, fikiran dan pemerhatian. Contoh perkataan kerdil: sedikit, ala-ala, seperti, sangat, agak, tidak berapa, seakan…” yang mencairkan stail dan melemahkan ayat. Mereke diistilahkan sebagai ‘Little Qualifiers’ oleh Zinsser.
Elakkan berkata “saya sedikit ragu”, “agak penat”, “seperti tertekan” atau “seakan tidak percaya”.
Terus teranglah: Saya ragu. Saya penat. Saya tertekan. Saya tidak percaya.
Jangan berkata “Saya tidak berapa puas hati kerana hotel itu agak mahal.” Katakan terus “Saya tidak puas hati kerana hotel itu mahal.”
Usah cakap “Saya agak beruntung.” ‘Agak’ beruntung? Berapa banyak agakan untung tersebut?
Terus saja: Saya beruntung.
Perkataan seperti ‘hebat’ atau ‘menakjubkan’ juga tidak beri ukuran sebenar keadaan. ‘Sangat’ berguna untuk beri penekanan, tapi ia sebenarnya menyemakkan ayat. Tidak perlu sebut seseorang itu sangat sistematik. Beliau itu sistematik atau tidak?
Bagaimana pula dengan imbuhan ‘lah’ yang biasa diguna sebagai ‘pelembut’ dalam Bahasa Melayu?
“Saya bukanLAH orang yang sesuai untuk jawatan ini.”
Berbezakah maksud ayat sekiranya LAH dibuang?
“Saya bukan orang yang sesuai untuk jawatan ini.”
Tidak semua LAH mesti dikikis daripada ayat. Ada kalanya ia ditambah sebagai imbuhan penegas. Apa yang Zinsser mahu ialah kita lebih cermat dan sedar semasa menulis.
Ayat terus terang adalah lambang kekuatan penulisan. Tetapi apabila ditempel dengan perkataan ragu-ragu, pembaca hilang yakin. Pembaca mahukan penulis yang percaya diri dan tegas dengan apa yang diucap. Jangan bertolak ansur dengan harapan pembaca.
Tulis dengan yakin. Berterus-terang. Cakap dengan jelas.
(Diadaptasi dari perenggan Little Qualifiers, mukasurat 70 On Writing Well: The Clasic Guide to Writing Nonfiction oleh William Zinsser, Harper Perennial 2016.)