• About Latfy
    • Blog

LATerally Thinking

  • Tulisan dan Santan

    March 4th, 2022

    Saya sudah terlupa tulisan siapa yang dibaca beberapa bulan lepas, sedap benar bahasanya.

    Ayatnya kemas, maksudnya sampai dan mesejnya sangat jelas.

    Perkataannya tidak berulang-ulang, sebutnya hanya sekali, tetapi kerana tidak menjerit dan rentaknya seimbang, maka sebutannya boleh dihadam walau cuma sekali lalu.

    Terasa rendah benar mutu tulisan sendiri.

    Yang saya paling suka adalah ekonomi perkataan penulis tersebut. Tulisan yang bersih dan sangat kurang berlemak. Ibarat hidangan nasi lemak yang enak: tetap berkhasiat kerana santannya cukup-cukup tidak lebih tidak kurang. Sambal pun sedap, minyak tidak keterlaluan. Bilis tidak terlampau masin, bahkan kacang pun tidak terlebih goreng. Nak kata versi diet pun bukan kerana pengisiannya sarat kalori (namanya pun nasi lemak). Lemak pun bukan tiada terus (lemak pada nasi itulah penyedap), tapi santannya mungkin yang bermutu.

    Jika tulisan tersebut diibaratkan hari, maka menjadilah ia suatu hari yang tidak terlalu panas membahang. Anginnya bertiup sepoi-sepoi, cuaca tidak terlalu garang, tidak pula mendung, di luar banyak kereta lalu lalang tetapi bunyi tidak terlalu bising. Kerja di tangan kita itu penuh, tetapi tidak juga mendesak.

    Tulisan yang baik itu begitulah, seperti hari yang nyaman.

    Semoga hari anda juga begitu: nyaman bertiup ketenangan dan sarat dengan santan bermutu.

  • Apa maksud “SHOW, Don’t Tell”?

    March 2nd, 2022

    Tunjuk, bukan beritahu.

    Frasa ini antara yang selalu disebut oleh guru-guru hospital clowning.

    Kemudian saya terjumpa lagi dalam buku-buku penulisan.

    Apa itu Show, Don’t Tell?

    Apabila kita mahu beritahu pembaca bahawa satu karakter sedang marah, elakkan dari menulis ‘Razi berasa marah’.

    Sebaliknya, ceritakan apa yang berlaku. Contoh:

    Mendengar alasan Pak Muin itu Razi bingkas bangun menggenggam penumbuk. (Aksi)

    Nafasnya turun naik, dadanya berombak. Bebola matanya merah. Beberapa titik peluh sama timbul dengan urat pelipis. (Fisiologi)

    “Pak Muin, boleh sabar tak?,” bentak Razi. (Dialog)

    Razi dah lama menahan sabar, sejak dari hari pertama dia tiba di pekan itu lagi. (Pengisahan)

    Kenapa perlu tunjuk, bukannya beritahu?

    Apabila kita tunjuk, pembaca dapat menilai dan bina kesimpulan sendiri. Ia lebih mengenyangkan minda kerana visual dapat dibayangkan sendiri oleh pembaca.

    Teringat satu iklan sabun basuh, skripnya berbunyi:

    “Axion ke… Aziah?

    TUNJUKKAN SAYA!”

  • Tulislah Irama

    March 1st, 2022

    Ayat ini ada lima perkataan. Yang ini pun ada lima. Okay saja ayat lima perkataan. Tetapi kalau berturut akan jadi bosan.

    Bunyinya seperti piring hitam tersangkut. Telinga kita mahukan sedikit kepelbagaian.

    Baik.

    Sekarang cuba lihat. Saya pelbagaikan panjang ayat, dan mula mencipta ritma. Muzik. Tulisan ini sekarang menyanyi. Ia kini miliki ritma yang indah, melodi dan harmoni.

    Saya tulis ayat pendek. Saya juga tulis ayat yang sederhana panjang. Dan ada kalanya, apabila saya yakin pembaca sudah cukup rehat, saya akan berikan ayat yang panjang, yang membara dengan tenaga, melonjak ke tahap tinggi diiring paluan gendang seruling nobat gegak gempita–bunyi yang berkata: Dengar, ini penting!

    Jadi tulislah menggunakan kombinasi ayat pendek, sederhana dan panjang.

    Ciptalah bunyi yang sedap didengar. Jangan sekadar menulis perkataan, tapi ciptalah irama.

    (Diterjemah dan diolah dari buku 100 Ways to Improve your Writing karya Gary Provost.)

  • “Mulakan dengan Satu Ayat Benar.”

    March 1st, 2022

    Start with one true sentence.

    Mulakan dengan menulis satu ayat yang benar.

    Itu pesanan Hemingway.

    Sekiranya kita mati akal untuk mula menulis, maka tulislah satu ayat yang benar.

    Contoh:

    “Hari ini hari Jumaat.”

    Tanya diri lagi apa yang benar.

    “Apabila bangun pagi tadi, badan rasa sengal-sengal. “

    Apa lagi?

    “Kerja berlambak. Jubin dapur belum beli. Ada temujanji lepas solat Jumaat. Esok merantau.”

    Jika menulis untuk diri, tulislah apa saja.

    Jika menulis kepada khalayak, jangan lupa 3 pintu tapisan yang sering disebut-sebut itu:

    Adakah ia benar

    Adakah ia perlu

    Adakah ia baik

    (Baik bermaksud disampaikan dengan cara hormat dan kasih)

    Maka tulislah perkara yang benar, yang perlu dan yang membawa kebaikan. Tak semua perkara perlu dikongsi. 

    Mulakan dengan WhatsApp 😜

    Selamat Meraih pahala Jumaat!

←Previous Page
1 2 3 4

Blog at WordPress.com.

 

Loading Comments...
 

    • Subscribe Subscribed
      • LATerally Thinking
      • Already have a WordPress.com account? Log in now.
      • LATerally Thinking
      • Subscribe Subscribed
      • Sign up
      • Log in
      • Report this content
      • View site in Reader
      • Manage subscriptions
      • Collapse this bar