Hari ini 11.11

(Nota asal ditulis pada tahun 2020. Hari ini saya ziarah dan sunting mengikut kesesuaian)

Sekiranya masih ada, arwah adik saya berumur 46 hari ini. 

Sejak minggu lepas Mak dah buat persediaan untuk tempah nasi bungkus dari restoran tak jauh dari rumah.  Cadangnya untuk beri makan kepada saudara dekat dan pekerja – yang merupakan rakan-rakan arwah juga.

Mak ada juga beli ais krim dan kudapan kegemaran arwah.

Bukan besar-besaran. Ringkas-ringkas saja. Nasi bungkus Mak cuma tempah melalui telefon, nanti kedai datang hantar. Tak ada pening-pening masak atau katering. Cuma semalam, Mak ada buat pulut manis. Mak dah siap letak dalam bekas plastik yang comel.

Mak senang bila berbual tentang makanan kegemaran arwah. Senyum-senyum bila bercerita.

“Arwah dulu suka makan ini.”

“Arwah selalu beli itu untuk kawan-kawan.”

Ingatan itu yang buat hidup jadi manis. Sama manis dengan pulut manis Mak.

Dulu semasa saya balik ke Kelantan – kalau kena gaya – saya dan arwah adik akan sama-sama ke kedai aksesori telefon kegemarannya. 

Selalunya dia akan beli bateri atau lcd iPhone untuk baiki unit yang kawan-kawan selalu minta tolong betulkan.

Keluar dari kedai, kami akan singgah di 7-11 untuk beli kopi yang dia suka.

Tak semua 7-11 ada jual. Pernah kami terpaksa cari di beberapa tempat tapi tak berhasil. Susah payah cari. Tapi susah payah itu yang jadi kenangan. A bad day makes a great story kata orang putih. 

Yang kami cari itu sejenis latte ais. Kopi susu dalam botol kaca yang cantik. Saya juga yang mengajar arwah minum padahal saya sendiri tak minum sebab terlalu manis. Hingga hari ini botol itu ada dalam peti ais, Mak buat simpan cili jeruk.

Hidup itu pendek. Biarlah ada kenangan. Kenangan itu biar manis. Sikit pun tak apalah, asalkan manis. Bekal untuk yang hidup.

InsyaAllah hari ini kami sekeluarga yang masih hidup ini makan tengahari sama-sama. Cetus kenangan baharu sementara orang tua masih ada, sementara nyawa kita masih di badan, sementara akal minda masih boleh selit ingatan baharu.

 “Today I will behave as if it is the day that I will be remembered.” – Dr Seuss

Happy Birthday Bro.

Al Fatihah.