Mesti kurang dari 30 saat

1
Beberapa bulan yang lalu saya terlibat dalam sebuah projek produksi video. Untuk salah satu segmen, kami buat rakaman temuramah. Saya hairan kenapa bakat (talent) yang ditemuramah bercakap sangat laju di depan kamera. Apabila disyorkan supaya lebih bertenang, beliau menjawab, “Mesti laju, 30 saat untuk FYP Tik Tok.”

2
Setiap kali di masjid untuk solat Jumaat, saya nampak jemaah yang masih meleret-leret jari di skrin telefon (scrolling) walaupun khatib sudah mula baca khutbah. Bukan setakat orang muda, orang tua pun sama.

3
Ini baharu berlaku. Saya berbual dengan dua kenalan. Belum saya habis cerita, keduanya angkat telefon dan mula buka Whatsapp walaupun kami baru duduk. Kerana hormat, saya habiskan ayat dengan mencari noktah paling dekat dan menghentikan ucapan.


Tempoh tumpuan (attention span) kita sudah benar-benar singkat. Kalau dahulu buku terpaksa bersaing dengan Netflix, kini cakap yang panjang perlu dikerat pendek.

Dan perlu padat, seksi dan sensasi.

Kini, Berkemahiran Mendengar boleh jadi sesuatu yang paling dicari dalam CV.

Kerana tak semua orang memilikinya.

, , ,