Jarak Persahabatan

Saya di dalam kereta menunggu seorang kawan turun dari ofisnya. Kami berjanji untuk makan tengahari di kafe yang kami biasa kunjungi hampir setiap minggu semasa sebelum Covid. Itu zaman sebelum saya berpindah ofis ke Cyberjaya. Zaman saya masih kerja dari rumah. Zaman kafe itu masih dibuka kepada umum.

Kawan yang ini saya kenal sejak zaman universiti. Kami bukan sama kursus, cuma kenalan biasa: kawan atas kawan. Habis belajar kami bawa haluan masing-masing, kemudiannya jumpa semula kerana minat yang sama: basikal.

Dengan minat itu kami berdua mengayuh basikal dari Labis ke Muar, ke Melaka dan ke Seremban. Tiga hari dua malam. Tumpang tidur di rumah saudara, lelapkan mata di tepi pantai, makan cendol di tepi kampung, kayuh tepi bendang, rehat di masjid, minum air kelapa di tepi jalan, layan terik matahari siang, menyelit-nyelit hiruk trafik senja.

Itu 8 tahun yang lalu. Banyak perkara baik yang saya belajar daripada kawan yang ini.

Sedang saya melayan kenangan dalam kereta, saya terfikir juga:

Sebenarnya bukan kita yang pilih siapa sahabat kita, tapi dia yang pilih. Dia yang pilih untuk bersahabat dengan kita.

Ada kalanya kita ingin sangat berkawan dengan seseorang atau sesuatu kumpulan, tetapi mungkin kerana tidak sesuai, ajakan selalu ditepis atau tidak disahut. Atau mungkin kerana perangai kita yang tidak cocok tetapi kita sendiri yang tidak sedar.

Kita kena akui kita ini manusia, banyak perangai yang kita anggap biasa-biasa, rupanya kurang molek dan tak digemari oleh kenalan.

Setakat mana mereka boleh toleransi dengan perangai kita, maka sejauh itulah persahabatan.

Suatu ketika dahulu saya pernah bertanya kepada rakan-rakan sepejabat tentang sudut perangai saya yang patut diperbaiki. Ala-ala 360 Appraisal gitu (terinspirasi oleh buku Rick Hastings, CEO Netflix). Tapi biasalah, cadangan saya mungkin di luar norma, jadi ia sayup-sayup tenggelam ke gaung.

Mungkin kawan-kawan tak tergamak mahu tegur, risau kritiknya mengguris.
Iyalah, orang kita bukan selesa apabila dikritik.

Atau mungkin mereka ingin berkawan lebih lama.

Semoga kita sentiasa berlapang dada bila ditegur, senyum bila disaran, dan terus-terusan bersyukur bila masih ada yang sudi menyapa.

Untunglah jiwa yang sentiasa berusaha memperbaiki akhlak dan amalannya.

Dan sudi ditegur.

,