Hitam dan Kuning

Pagi itu saya bangun sangat awal. Di Sabah ini Subuhnya cepat sejam dari Semenanjung, sebab itulah kita selalu terima mesej ajak solat Subuh seawal waktu tahajjud.

Sebelum keluar saya sarungkan t-shirt bersih. Hitam, warna yang paling mudah. Tak perlu susah-susah fikir warna apa mahu dipadan. Pakaian saya kebanyakannya hitam. Kononnya sama konsep dengan orang hebat-hebat seperti mendiang Steve Jobs (baju turtle neck lengan panjang hitam) Mark Zuckerberg (t-shirt biru tanpa kolar) dan Obama (tali leher merah). Perkara sama yang dibuat setiap hari seharusnya dipermudahkan. Tidak perlu pening-pening fikir mahu pakai baju warna apa dengan seluar mana, kerana apabila sudah jadi tabiat, otak boleh guna sumber tenaga ke tempat lain yang lebih penting: untuk fikir hal-hal dunia yang lebih mendesak neuron atau cetusan kreativiti yang jauh lebih utama dan berat.

Saya masukkan kaki ke kasut, capai beg laptop dan keluar dari bilik. Dalam kepala matlamat hanya satu: selesaikan hutang kerja yang ini dulu, sarapan boleh tunggu.

Dari bilik hotel di tingkat empat saya turun lif ke lobi. Keluar dari pintu depan kemudian belok ke kanan, dan kanan lagi – menuju ofis sementara yang terletak di belakang hotel.

Klien sudah ada di ofis dengan kerja mereka masing-masing. Saya beri salam dan tanya apa-apa hal yang mendesak pagi ini. Tiada. Jadi kita teruskan dengan pelan yang ditulis dua hari lalu. Setiap kali ke sini saya akan tulis perkara yang mahu dicapai dalam beberapa hari ini di papan putih. Kali ini ada 5 perkara, dua sudah selesai semalam.

Saya tarik bangku dan duduk. Dalam kepala ada perancangan bagaimana harus dimanfaatkan hari ini. Esok dah balik Semenanjung jadi semaksimum mungkin masa yang ada ini mesti dimanfaatkan.

Ofis yang sementara ini letaknya agak terlindung di belakang. Wifinya agak teruk. Kebetulan kali ini jaringan telefon juga lebih lembab. Nampaknya untuk dapatkan mesej saya terpaksa bangun dan keluar berjalan ke bahagian depan bangunan. Itulah yang terjadi pagi ini.

Saya angkat telefon dan memerhati kekuatan signal. Satu bar. Aduh. Saya bangun dan berjalan ke pintu. Dua bar. Saya buka pintu dan keluar menuju depan bangunan.

Sedang saya asyik memerhati telefon, tiba-tiba telinga kanan terasa seperti dilanggar sesuatu dari atas. Pek! Setompok lendir kuning pekat melekat di bahu kanan baju.

Tahi burung!

Cebisannya turut terpercik ke skrin telefon yang saya sedang tatap tadi.

Langkah saya terhenti.

Tergamak kamu, burung?

Tahi burung kuning pekat di atas baju warna hitam. Kontras warna yang cukup sempurna.

Kemudian hati saya tertawa sendiri. Sambil tersengih saya bilas lengan baju dengan air paip yang kebetulannya ada di tepi laluan.

Hebatlah hidupmu dengan berperancangan dan kecerdikan menyusun masa. Bijak. Pintar. Segak jalanmu dengan baju hitam yang bersih dan harum, dan kasut yang menghindar kaki dari menyentuh kotor debu tanah.

Tapi bagi seekor burung yang sedang terbang, kamu tidak lain cuma sebahagian daripada sebuah mangkuk tandas yang besar.

Terima kasih, burung, kerana peringatan yang menginsafkan ini.

Ironilah juga, bila malam itu hidangan kami di bandar tepi laut ini berupa puyuh goreng.