Matlamat media sosial adalah untuk buat untung, sebab mereka entiti bisnes, bukan badan amal/sosial. Dah berlalu zaman Mark Zuckerberg buat Facebook untuk berkenal-kenalan sesama teman kampus. Sekarang META ini syarikat pegangan berhad di NASDAQ dengan hasil USD 85.96 billion (2020). Ia berbisnes, kena buat untung untuk pelabur.
Cara utama mereka buat untung adalah menerusi jualan ruang iklan. Lebih ramai pengguna berdaftar bermakna lebih luas capaian, justeru lebih besar peluang pengiklan untuk dapat pelanggan. Dan cara untuk pastikan lebih banyak iklan dilihat (eyeballs) adalah dengan mengikat mata pengguna agar lebih lama melekat di applikasi. Bagaimana? Sajikan video pendek yang orang suka tengok yang dibuat sendiri oleh pengguna (orang dah malas membaca, layan video lagi sedap). Lagi lama orang tengok, leret (swipe), lagi banyak ruang iklan boleh letak (contoh: setiap video kelima adalah iklan berbayar).
Applikasi pula akan cuba pastikan video yang dimuatnaik itu kekal menarik dengan memberi habuan LIKE dan capaian lebih kepada pembikin. Bagaimana mereka tahu video itu menarik? Apabila kita muatnaik, algoritma akan buat ujian mini dengan mempersembahkan video tadi ke paparan feed 10 peratus daripada kenalan kita. Jika LIKEnya cepat maka video tersebut dianggap menarik dan akan dibuka kepada lebih banyak mata.
Sedihnya apabila kita menjadi terdesak untuk mendapat LIKE (atau dalam kes IG: FOLLOW). Kita paksa diri untuk hasilkan video yang sedap di mata, seronok diLIKE tapi tak menyuburkan benih kebaikan di hati. Menyelerakan untuk ditonton tetapi tiada suapan kepada rohani. Lebih sedih apabila ia memperbodohkan diri atau mengaibkan orang lain.
Banyak benda baik boleh dijana melalui media sosial. Samalah benda buruk pun.