Ada seorang kawan, sangat mudah gembira dengan apa yang dia nikmati.
Apabila ada rakan sepejabat bawa juadah untuk kongsi beramai-ramai, dia paling akhir yang jamah tapi orang pertama yang puji sedap.
Apabila lihat hasil kerja kita, pujiannya yang paling mengagumkan.
Dalam How to Calm Your Mind, Chris Bailey menyarankan satu teknik supaya jiwa lebih tenang. Namanya SAVOURING. Dalam Bahasa Melayu: Menikmati.
Apabila makan, benar-benar rasai manis masin tawar pedas umami. Ambil masa untuk kunyah, tak perlu gopoh. Apabila keluar rumah, nikmati cuaca yang cerah dan langit biru (pejam mata dan hirup udara ala-ala iklan tv tidak dimestikan). Apabila naik lif, abaikan desakan dopamin untuk buka TikTok dan reel sosmed. Lihat saja nombor tingkat bertambah dan terima kasih kepada Tuhan kerana ada kemudahan dan tak perlu susah payah panjat tangga ke tingkat 15.
Hidup akan lebih aman katanya.
Kawan kami tadi, kami gelarkannya Si Mudah Terhibur.
Tapi dialah sebenarnya yang paling mudah bersyukur.
Rezeki juga dapat kawan begini.