Titik Sambung: Sejauh Mana ke Belakang?

Titik Sambung: Sejauh Mana ke Belakang?

Apabila diminta pandangan tentang sesuatu perkara, saya akan cuba jawab dengan mengaitkan bagaimana jawapan saya bermula.

Tujuannya supaya yang bertanya akan dapat sumber ilmu dan memahami lebih mendalam, bukan sekadar ringkasan jawapan. Biasa terjadi apabila jawapan terlalu mudah, soalan susulan pula datang bertubi seperti dia tak puas dengan jawapan ringkas.

Maka saya akan berundur dua tiga tapak sebelum menyentuh titik jawab. Ia seperti memperkenalkan pendengar kepada beberapa konsep latar. Apabila sudah maklum latarbelakang jawapan, barulah saya akan beri pandangan.

Masalah berlaku apabila saya berundur terlalu jauh ke belakang. Apabila dah sampai ke D, saya dah lupa kenapa saya ceritakan A. Sudahnya saya tak dapat kaitkan D kepada A.

Saya akan tergamam sekejap cari titik sambung.

Tapi saya yakin dengan keperluan menceritakan premis hujah. Apabila pendengar dapat kaitkan semua, angguknya akan lebih ketara.

Teringat konsep penceritan yang diamalkan oleh Pixar. Menurut penerbitnya Andrew Stanton, dalam filem-filem Pixar, mereka tidak cerita semua A sampai Z, tapi beri ruang penonton yang simpulkan sendiri. Ini yang mencetuskan kepuasan penonton yang merasakan sambungan titik-titik cerita diusahakannya sendiri. Filem bukan sekadar halwa mata, tapi kekenyangan intelektual. Penghayatan cerita jadi lebih mendalam. “Deeper emotional connection,” katanya.

Mungkin saya perlu buat begitu juga. Ceritakan sekadar cukup. Tak perlu kisahkan semua.

Kalau yang mendengar itu bijak, pandai-pandailah dia sambungkan titik-titik cerita.

Tapi sekarang saya dah lebih maklum: Apabila ditanya pandangan, saya lebih cenderung diam dua tiga detik sebelum buka mulut. Yang bertanya sendiri akan sambung jawab, kerana huraian sebenar sudah ada. Mereka cuma mahu pendengar, bukannya penyelesaian.

Selamat Mendengar!