
Tadi saya berbual dengan seorang penjual pintu. Beliau bercerita tentang mendiang bapanya.
“My dad,” katanya, “was a good man.”
Saya jarang dengar orang kata begitu tentang bapa sendiri. Lebih-lebih lagi dalam nada bangga beserta hiba.
“Kami bukan orang kaya,” sambungnya lagi. “Bapa cuma ada motosikal roda tiga untuk bawa barangan. Beliau kerja di kilang kayu yang buat bahagian dalaman kasut.”
Pernah sekali abangnya terjumpa bungkusan berisi segepuk wang kertas di tepi jalan dan bawa balik ke rumah. Bukan main marah bapanya. “Sekarang bawa wang ini ke tempat kamu jumpa – dan tunggu di situ hingga pemiliknya datang!” tengking bapanya.
“Jangan ambil apa yang bukan milik kamu!”
Abangnya mengikut perintah. Benar, tidak lama kemudian empunya wang datang.
Pernah sekali kawan saya dapat panggilan telefon dari ibunya, “Balik! Balik cepat! Bapa kamu buat hal!”
Rupa-rupanya bapanya terlibat dalam insiden kebakaran. Beliau kebetulan melalui kawasan sebuah rumah pangsa dan nampak asap keluar berkepul-kepul dari salah satu unit. Beliau terus panjat tangga, pecahkan pintu dan masuk padamkan api bersendirian. Jiran-jiran bersebelahan tiada di rumah, jadi beliau bertindak seorang diri. “Belum sempat bomba sampai, bapa dah padamkan api dan selamatkan keadaan,” kata kawan saya sambil ketawa. Selepas peristiwa itu, bapanya dikenali masyarakat setempat.
Bapanya meninggal dunia kerana kanser. Seluruh perutnya terpaksa dibuang. Dalam keadaan sakit, bapanya masih berulang-alik ke tempat kerja. “Degil,” kata emaknya. Doktor berinya 6 bulan, tetapi kerana ‘kedegilannya’ itu, beliau bertahan sehingga dua tahun.
Di upacara pengebumiannya, orang Melayu, India, Cina datang beri penghormatan terakhir.
Seronok saya dengar cerita kawan baharu saya ni. Patut dikisahkan ke dalam buku.
Saya terfikir. Sudikah anak-anak saya kata, “Bapaku seorang yang baik” bila saya dah tiada nanti?
Saya pernah berseloroh dengan isteri, “Bila saya mati, tulislah di batu nisan saya: Di sini dikebumikan Latfy Anuar bin Latif, yang berusaha jadi baik sampai mati.”
Isteri saya ketawa. Mungkin dia akan betul-betul buat kalau saya berdegil.