
Tugas penulis ialah untuk memberi nampak kepada pembaca.
Penulis membina ayat dan perenggan supaya pembaca dapat berimaginasi dengan ceritanya. Penulis yang bagus berupaya memberi gambaran adegan melalui pilihan perkataan yang tepat dan nahu yang bersesuaian.
Jika apa yang ditulis itu gambar, penulis itu adalah bingkai.
Contoh:
Pekan ini sudah 14 tahun tidak terima hujan. Sungai masih mengalir, tetapi lesu. Padang ragut yang terbentang di hujung sana sebelah matahari naik sudah bertahun sepi dari ternakan kerana tanahnya kering garing. Pasar Kebun yang dahulunya meriah dengan hiruk pikuk para makcik dan kaum ibu berjual beli sayuran kini tinggal kerangka tiang dan bumbung zink yang semakin mereput. (Gambar)
Semasa tiba di sini 6 hari lalu saya masih bersemangat, tetapi hari ini saya juga seperti Sungai Meranti yang mengalir di tepi padang ragut itu – lesu. (Bingkai)
Kebiasaan, gambar itu roh cerita. Namun terpulang juga kepada genre karya. Ada kalanya penulis akan ceritakan tentang gambar semata, tidak perlu pun sebut tentang bingkai. Tetapi Memoir mungkin banyak bercerita perihal bingkai kerana ia bersifat personal. Cuma kalau tidak kena gaya, terlalu berlebih menceritakan kehebatan bingkai boleh memualkan.
Sama juga dengan berbual. Boleh naik bosan juga kalau asyik cerita tentang kehebatan kamu saja!