
Saya sudah terlupa tulisan siapa yang dibaca beberapa bulan lepas, sedap benar bahasanya.
Ayatnya kemas, maksudnya sampai dan mesejnya sangat jelas.
Perkataannya tidak berulang-ulang, sebutnya hanya sekali, tetapi kerana tidak menjerit dan rentaknya seimbang, maka sebutannya boleh dihadam walau cuma sekali lalu.
Terasa rendah benar mutu tulisan sendiri.
Yang saya paling suka adalah ekonomi perkataan penulis tersebut. Tulisan yang bersih dan sangat kurang berlemak. Ibarat hidangan nasi lemak yang enak: tetap berkhasiat kerana santannya cukup-cukup tidak lebih tidak kurang. Sambal pun sedap, minyak tidak keterlaluan. Bilis tidak terlampau masin, bahkan kacang pun tidak terlebih goreng. Nak kata versi diet pun bukan kerana pengisiannya sarat kalori (namanya pun nasi lemak). Lemak pun bukan tiada terus (lemak pada nasi itulah penyedap), tapi santannya mungkin yang bermutu.
Jika tulisan tersebut diibaratkan hari, maka menjadilah ia suatu hari yang tidak terlalu panas membahang. Anginnya bertiup sepoi-sepoi, cuaca tidak terlalu garang, tidak pula mendung, di luar banyak kereta lalu lalang tetapi bunyi tidak terlalu bising. Kerja di tangan kita itu penuh, tetapi tidak juga mendesak.
Tulisan yang baik itu begitulah, seperti hari yang nyaman.
Semoga hari anda juga begitu: nyaman bertiup ketenangan dan sarat dengan santan bermutu.